Thursday, October 7, 2010

MAKANAN & MINUMAN 1MALAYSIA



NASI LEMAK

Nasi lemak merupakan makanan kegemaran bagi orang Malaysia terutama sebagai sarapan pada waktu pagi. Nasi lemak merujuk kepada nasi yang dimasak dengan menggunakan santan kelapa, bagi menambah rasa lemaknya. Kadangkala daun pandan dimasukkan semasa nasi lemak dimasak bagi menambahkan aromanya.

Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng dan sambal. Tetapi kini nasi lemak dijual dengan pelbagai lauk yang termasuk tetapi tidak terhad kepada daging, ayam, sotong, udang, limpa, dan hati (lembu).

Nasi lemak yang pada amnya merupakan makanan kaum Melayu kini turut menjadi makanan kegemaran kaum lain di Malaysia terutamanya sarapan pagi kerana dapat membekalkan tenaga.

Nasi lemak bukanlah satu makanan sarapan harian pada umumnya. Amalan pemakanan nasi lemak merupakan satu bekalan kepada pesawah-pesawah padi mahupun yang mengusahakan kebun seperti getah, kelapa sawit, sayur-sayuran dan lain-lain.

Pada masa kini, nasi lemak bukan sahaja dinikmati pada waktu pagi. Malahan, ia dinikmati pada waktu makan tengah hari dan malam. Oleh sebab itu, nasi lemak merupakan satu sajian makanan yang ringkas lalu dijadikan makanan pilihan warga kota yang sentiasa kesibukkan. Harga yang murah juga mendorong makanan popular ini semakin mudah didapati di mana-mana sahaja. Biasanya harga nasi lemak berada di dalam linkungan. RM 1 sehingga 6 sebungkus.


ROTI CANAI

Roti canai atau roti jenis leper yang berbentuk bulat ini, merupakan satu makanan kegemaran masyarakat Malaysia. Ia dimakan sebagai makanan pagi, tengahari, petang, dan malam. Roti canai sering kali dimakan bersama dengan teh tarik, atau teh ais. Biasanya dihidangkan dengan kuah dal atau parpu atau kari dengan sambal ikan bilis.

Penggunaan perkataan canai dalam bahasa Melayu dibelakang roti adalah hasil dari tingkah laku pencanai roti tersebut dalam meleperkan, menganginkan dan menebar doh roti. Ada juga menyatakan perkataan canai dibelakang roti ini asalnya dari jenis dal yang digunakan bersama roti ini, yakni "Channal". Pada versi yang lain, perkataan canai ini datangnya dari nama bandar Chennai, India disebabkan ramai pencanai roti ini kebanyakkan berasal dari sana pada ketika kebanjiran imigran India di Malaysia.

Roti canai kini yang menjadi kegemaran pelbagai kaum divariasikan dengan pelbagai cara;
§  Roti Telur, dicampurkan dengan telur selepas doh roti ditebarkan.
§  Roti Sardin, dicampurkan dengan sardin dalam tin bersama sos tomato dan diletak bawang yang didadukan.
§  Roti Telur Bawang, dicampurkan dengan telur bersama penggunaan bawang merah yang banyak.
§  Roti Pisang, dicampurkan dengan pisang yang telah dilenyek.
§  Roti Bom juga dipanggil roti boom, jenis roti canai yang dibuat bentuknya kecil dan lebih tebal dari roti canai. Adunan doh dan cara penebaran dan canai, adalah sama dengan roti canai.
§  Roti Planta, dicampurkan dengan marjerin yang banyak. Penggunaan nama Planta dibelakang kerana ia adalah satu jenama marjerin yang popular di Malaysia, kerana penggunaanya oleh orang Malaysia.
§  Roti Petak, atau roti canai sebenarnya, penggunaan nama ini bukan secara umum, penggunaan ini digunakan segelintir oleh orang Malaysia kerana mahu roti canai yang baru dibuat dan dimasak. Kebanyakkan roti canai (berbentuk bulat), telah siap dimasak awal-awal dan akan dipanaskan semula bila dipesan.
§  Roti Banjir, adalah roti canai yang telah dipotong kecil-kecil, dan dicampurkan kuah dal atau kuah kari yang banyak. Sambal akan diletak sedikit.


CHAR KWAY TEOW

Char kway teow merupakan makanan yang popular dalam  setiap lapisan kaum di Malaysia. Ia diperbuat daripada kuey teow, leper dan kira-kira 1 cm lebar, digoreng di atas api panas dengan kicap dan sos, cili, udang, kerang, telur, taugedan kucai Cina. Kadangkala hirisan sosej Cina dan kek ikan atau bahan-bahan lain ditambah mengikut citarasa setempat.

Pada asalnya ia dimasak menggunakan lemak babi, yang memberikannya rasa tersendiri, namun kini sering dimasak menggunakan minyak biasa. Berbanding kuey teow goreng biasa, char kway teow agak basah.

Char kway teow mempunyai reputasi sebagai tidak menyihatkan akibat kandungan lemaknya. Akan tetapi, semasa masakan ini dicipta, sasaran utamanya ialah para buruh. Kandungan lemak yang tinggi dan harganya yang murah menjadikannya popular di kalangan buruh sebagai sumber murah tenaga dan nutrien. Pada masa itu, masakan ini selalunya dijual oleh nelayan, petani dan pemungut kerang yang menjual char kway teow pada waktu petang untuk menambah pendapatan mereka.

Kini, char kway teow boleh didapati di hampir setiap gerai dan restoran makanan tidak kira restoran makanan melayu, cina, mahupun mamak. Makanan ini digemari kerana murah, mudah dan enak selain turut mengenyangkan.


TEH TARIK

Masyarakat majmuk di Malaysia tidak menikmati teh seperti mana orang di negara China dan Jepun. Orang di China dan Jepun menyukai teh mereka tidak ditambah apa-apa kerana mereka menganggap meminum teh merupakan suatu seni dalam keluarga mahupun rakan-rakan.

Sebaliknya, orang Malaysia lebih menyukai teh yang ditambah gula ataupun susu. Akan tetapi, teh yang paling digemari oleh rata-rata masyarakat majmuk di Malaysia ialah TEH TARIK.

Teh tarik merujuk kepada air teh bersusu yang dicurah antara dua koleh bagi menyejukkannya dan menjadikan ia berbuih. Ia merupakan minuman yang digemari di kawasan tropika. Teh tarik menjadi minuman pilihan sepanjang masa, siang dan malam bagi penggemarnya.

Teh tarik biasanya dibuat dengan menggunakan teh serbuk yang murah dan dibeli secara pukal (pada kebiasaanya). Serbuk teh ini akan dibancuh dan ditapis dengan menggunakan tapisan kain.

Teh tarik pernah diburuk-burukkan oleh khabar angin yang mendakwa bahawa minuman teh tarik dicampur dengan sabun serbuk bagi menambah buihnya.

Buih teh tarik tersebut sebenarnya terbentuk disebabkan ia dicurah diantara dua koleh dan kepekatan kandungan gula dalam air teh menyebabkan buih yang terbentuk dapat bertahan lama. Cara yang sama digunakan bagi mengekalkan buih sabun ketika bermain buih sabun. Cuma tambahkan gula kedalam larutan sabun bagi menjadikan buih sabun tahan lebih lama.

Teh tarik dan teh ais merupakan minuman yang dikaitkan dengan warung dan kedai mamak. Tidak lengkap rasanya hidangan nasi lemak atau roti canai tanpa secawan teh tarik. Janggal juga rasanya jika menonton bola di warung mamak jika tidak pekena the tarik. Begitulah hebatnya penangan teh tarik di Malaysia dan minuman ini boleh diklasifikasikan sebagai minuman 1 Malaysia kerana tidak kira kaum Cina,Melayu mahupun India menggemari minuman ini.

Wednesday, October 6, 2010

PRODUK ISTIMEWA MELAKA

                BELACAN

Belacan merupakan sejenis bahan masakan yang diperbuat daripada udang  geragau yang dimampatkan dan tahan lama. Ia mempunyai bau yang kuat tetapi sedap dan berkhasiat dimakan.

Belacan Melaka amat terkenal dengan aroma serta keunikan rasa yang perlu dirasai oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia. Belacan Melaka tiada tolok bandingnya dan merupakan negeri yang terkenal seluruh Malaysia dengan mengguna kaedah tradisional. Tiada bahan pengawet atau tiruan.

Keunikan Belacan Melaka adalah terletak pada rasa dan bau aroma yang cukup unik. Sebilangan pakar pemakanan tradisional turut mengklasfikasikan bahawa belacan yang baik boleh dikenali melalui bau aroma dan teksturnya.

Proses pembuatannya ialah, udang geragau dibersihkan terlebih dahulu, kemudian dimasukkan ke dalam pengisar. Sedikit garam dan bahan pengawet ditambah untuk mengekalkan kesegaran. Belacan tersebut dikisarkan sehingga hancur. Belacan dikeluarkan dan dijemur sehingga kering. Sedikit tepung ditambah bagi membolehkan belacan tersebut dibentuk empat segi mahupun bulatan.

Semakin lama belacan itu diperap atau disimpan maka hasilnya akan lebih baik lagi. Manakala jangka hayat belacan boleh menjangkau hingga 10 tahun bergantung kepada cara penyimpanan.

Belacan Melaka digemari ramai kerana keaslian dan kesegarannya. Tidak perlu risau 
membeli belacan di negeri ini terutamanya di deretan 16 gerai menjual belacan yang terletak di Klebang,Melaka. Ini kerana belacan yang dijual di situ dihasilkan sendiri oleh peniaga tanpa menggunakan sebarang bahan pewarna berbahaya. 

Untuk mengenalpasti belacan yang dibuat sendiri, ia berwarna coklat keputihan, manakala belacan yang berwarna jingga atau merah biasanya mengandungi pewarna. Belacan di sini nampak jingga atau merah kerana dibungkus dengan plastik merah. Tetapi, jika lihat belacan di dalam, warnanya tidak merah atau jingga, sebaliknya lebih putih.

Terdapat sesetengah orang yang gemar membakarnya sedikit sebelum digunakan kerana ini membangkitkan baunya. Mahupun begitu, sekiranya dibakar, belacan mengeluarkan bau yang sungguh kuat.

Belacan juga merupakan salah satu bahan bagi menghasilkan sambal belacan iaitu cili dan belacan yang ditumbuk lumat dengan menggunakan belacan dihasilkan daripada udang dan ada juga yang dihasilkan dari ikan.

Antara yang terkenal di Melaka ialah masak asam pedas yang memerlukan belacan dalam proses masakan. Selain itu, belacan turut digunakan dalam sambal tumis dan sambal belacan  yang menjadi pembuka selera dalam hidangan.


                            CENCALUK

Cencaluk ialah sejenis lauk dalam hidangan tradisional Melaka. Oleh sebab ia diperbuat daripada udang halus yang lebih dikenali sebagai udang geragau, cencaluk mengandungi kandungan protein yang tinggi.

Kebiasaannya, udang geragau ini sukar didapati. Di negeri Melaka, udang ini boleh didapati pada musim tertentu di Pantai Klebang, Limbongan, Tanjung Kling dan beberapa kawasan pesisiran pantai yang lain.

Melaka bukan sahaja terkenal dengan kesan peninggalan sejarahnya yang menarik lagi unik, malah tidak ketinggalan juga dari segi makanannya yang amat lazat lagi menyelerakan. Apabila kita menyebut mengenai makanan yang terdapat di Melaka, pasti kita akan teringatkan cencaluk.

Mengikut kepercayaan lama yang telah menjadi kata-kata senda gurau pula, kononnya jika pada hari perkahwinan seseorang itu, hujan turun sepanjang hari, maka dikatakan bahawa mempelai suka makan cencaluk. Namun itu semua hanyalah cerita lama.

Makanan ini yang suatu ketika dulu dipelopori oleh masyarakat Melayu di Melaka kini digemari oleh semua lapisan masyarakat, bukan sahaja di tempat asalnya, malahan sudah melangkaui sempadan Malaysia. Ia juga menjadi satu keperluan atau lauk semasa menikmati hidangan nasi dan ada juga yang menjadikan petai atau jering sebagai ulam semasa memakan cencaluk.

Kini, perusahaan membuat cencaluk semakin mendapat tempat di kalangan penduduk di beberapa kawasan di negeri Melaka. Kerajaan negeri sendiri sudah menetapkan kawasan Dewan Undangan
Negeri Kawasan Sungai Udang sebagai kawasan mengeluarkan cencaluk di dalam rancangan 'Satu DUN Satu Produk'.

Selain itu, cencaluk juga kini mudah diperolehi menerusi penjualan yang terbuka seperti di tepi jalan raya serta di pasar-pasar sekitar negeri ini. Bagi mereka yang melalui pesisiran kawasan Tanjung Kling ke Sungai Udang, pasti akan dapat melihat deretan gerai yang menjual cencaluk dan juga belacan.

Proses pembuatan cencaluk memerlukan beberapa kaedah untuk membuatnya dan ia perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan mutu serta kualiti cencaluk itu sedap dirasa apabila dimakan.
Udang geragau yang segar, iaitu tanpa direndam dengan air, akan dicampurkan dengan garam, dan sedikit nasi, iaitu sama seperti bahan- bahan untuk membuat belacan. Setelah ketiga-tiga bahan sudah menjadi sebati, ia seterusnya akan dimasukkan ke dalam sebuah bekas, iaitu pasu, guri atau tempayan kecil. Pasu dan tempayan kecil itu kemudiannya ditutup dengan kain bersih untuk diperam selama tiga hari. Ada juga pembuat cencaluk yang menambahkan sedikit air didih nasi bagi menambah kesedapan cencaluk.


Apabila cencaluk sudah diperam dan sesuai untuk dimakan, ia boleh disedapkan lagi sewaktu dimakan sebagai lauk dengan nasi melalui dua cara:
1.      Cencaluk dicampur dengan lada basah dan bawang besar yang dihiris. Kemudian ia akan dicampur dengan perahan limau nipis atau limau kasturi

2.      Cencaluk dicampurkan dengan sedikit lada basah dan sehiris dua halia, kemudian digoreng dengan telur.

Tidak lengkap rasanya jika kunjungan ke bumi Hang Tuah tersebut jika tidak membawa pulang cencaluk sebagai buah tangan. Cencaluk boleh didapati dengan mudah terutamanya di persisiran pantai dengan harga yang cukup murah. Harga cencaluk boleh didapati serendah RM 2.00 sebotol.