BELACAN
Belacan merupakan sejenis bahan masakan yang diperbuat daripada udang geragau yang dimampatkan dan tahan lama. Ia mempunyai bau yang kuat tetapi sedap dan berkhasiat dimakan.
Belacan Melaka amat terkenal dengan aroma serta keunikan rasa yang perlu dirasai oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia. Belacan Melaka tiada tolok bandingnya dan merupakan negeri yang terkenal seluruh Malaysia dengan mengguna kaedah tradisional. Tiada bahan pengawet atau tiruan.
Keunikan Belacan Melaka adalah terletak pada rasa dan bau aroma yang cukup unik. Sebilangan pakar pemakanan tradisional turut mengklasfikasikan bahawa belacan yang baik boleh dikenali melalui bau aroma dan teksturnya.
Proses pembuatannya ialah, udang geragau dibersihkan terlebih dahulu, kemudian dimasukkan ke dalam pengisar. Sedikit garam dan bahan pengawet ditambah untuk mengekalkan kesegaran. Belacan tersebut dikisarkan sehingga hancur. Belacan dikeluarkan dan dijemur sehingga kering. Sedikit tepung ditambah bagi membolehkan belacan tersebut dibentuk empat segi mahupun bulatan.
Semakin lama belacan itu diperap atau disimpan maka hasilnya akan lebih baik lagi. Manakala jangka hayat belacan boleh menjangkau hingga 10 tahun bergantung kepada cara penyimpanan.
Belacan Melaka digemari ramai kerana keaslian dan kesegarannya. Tidak perlu risau
membeli belacan di negeri ini terutamanya di deretan 16 gerai menjual belacan yang terletak di Klebang,Melaka. Ini kerana belacan yang dijual di situ dihasilkan sendiri oleh peniaga tanpa menggunakan sebarang bahan pewarna berbahaya.
Untuk mengenalpasti belacan yang dibuat sendiri, ia berwarna coklat keputihan, manakala belacan yang berwarna jingga atau merah biasanya mengandungi pewarna. Belacan di sini nampak jingga atau merah kerana dibungkus dengan plastik merah. Tetapi, jika lihat belacan di dalam, warnanya tidak merah atau jingga, sebaliknya lebih putih.
Terdapat sesetengah orang yang gemar membakarnya sedikit sebelum digunakan kerana ini membangkitkan baunya. Mahupun begitu, sekiranya dibakar, belacan mengeluarkan bau yang sungguh kuat.
Belacan juga merupakan salah satu bahan bagi menghasilkan sambal belacan iaitu cili dan belacan yang ditumbuk lumat dengan menggunakan belacan dihasilkan daripada udang dan ada juga yang dihasilkan dari ikan.
Antara yang terkenal di Melaka ialah masak asam pedas yang memerlukan belacan dalam proses masakan. Selain itu, belacan turut digunakan dalam sambal tumis dan sambal belacan yang menjadi pembuka selera dalam hidangan.
CENCALUK
Cencaluk ialah sejenis lauk dalam hidangan tradisional Melaka. Oleh sebab ia diperbuat daripada udang halus yang lebih dikenali sebagai udang geragau, cencaluk mengandungi kandungan protein yang tinggi.
Kebiasaannya, udang geragau ini sukar didapati. Di negeri Melaka, udang ini boleh didapati pada musim tertentu di Pantai Klebang, Limbongan, Tanjung Kling dan beberapa kawasan pesisiran pantai yang lain.
Melaka bukan sahaja terkenal dengan kesan peninggalan sejarahnya yang menarik lagi unik, malah tidak ketinggalan juga dari segi makanannya yang amat lazat lagi menyelerakan. Apabila kita menyebut mengenai makanan yang terdapat di Melaka, pasti kita akan teringatkan cencaluk.
Mengikut kepercayaan lama yang telah menjadi kata-kata senda gurau pula, kononnya jika pada hari perkahwinan seseorang itu, hujan turun sepanjang hari, maka dikatakan bahawa mempelai suka makan cencaluk. Namun itu semua hanyalah cerita lama.
Makanan ini yang suatu ketika dulu dipelopori oleh masyarakat Melayu di Melaka kini digemari oleh semua lapisan masyarakat, bukan sahaja di tempat asalnya, malahan sudah melangkaui sempadan Malaysia. Ia juga menjadi satu keperluan atau lauk semasa menikmati hidangan nasi dan ada juga yang menjadikan petai atau jering sebagai ulam semasa memakan cencaluk.
Kini, perusahaan membuat cencaluk semakin mendapat tempat di kalangan penduduk di beberapa kawasan di negeri Melaka. Kerajaan negeri sendiri sudah menetapkan kawasan Dewan Undangan
Negeri Kawasan Sungai Udang sebagai kawasan mengeluarkan cencaluk di dalam rancangan 'Satu DUN Satu Produk'.
Selain itu, cencaluk juga kini mudah diperolehi menerusi penjualan yang terbuka seperti di tepi jalan raya serta di pasar-pasar sekitar negeri ini. Bagi mereka yang melalui pesisiran kawasan Tanjung Kling ke Sungai Udang, pasti akan dapat melihat deretan gerai yang menjual cencaluk dan juga belacan.
Proses pembuatan cencaluk memerlukan beberapa kaedah untuk membuatnya dan ia perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan mutu serta kualiti cencaluk itu sedap dirasa apabila dimakan.
Udang geragau yang segar, iaitu tanpa direndam dengan air, akan dicampurkan dengan garam, dan sedikit nasi, iaitu sama seperti bahan- bahan untuk membuat belacan. Setelah ketiga-tiga bahan sudah menjadi sebati, ia seterusnya akan dimasukkan ke dalam sebuah bekas, iaitu pasu, guri atau tempayan kecil. Pasu dan tempayan kecil itu kemudiannya ditutup dengan kain bersih untuk diperam selama tiga hari. Ada juga pembuat cencaluk yang menambahkan sedikit air didih nasi bagi menambah kesedapan cencaluk.
Apabila cencaluk sudah diperam dan sesuai untuk dimakan, ia boleh disedapkan lagi sewaktu dimakan sebagai lauk dengan nasi melalui dua cara:
1. Cencaluk dicampur dengan lada basah dan bawang besar yang dihiris. Kemudian ia akan dicampur dengan perahan limau nipis atau limau kasturi
2. Cencaluk dicampurkan dengan sedikit lada basah dan sehiris dua halia, kemudian digoreng dengan telur.
Tidak lengkap rasanya jika kunjungan ke bumi Hang Tuah tersebut jika tidak membawa pulang cencaluk sebagai buah tangan. Cencaluk boleh didapati dengan mudah terutamanya di persisiran pantai dengan harga yang cukup murah. Harga cencaluk boleh didapati serendah RM 2.00 sebotol.
No comments:
Post a Comment